الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والسلام على من اتبع الهدى
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
Biasanya orang akan membicarakan khusuk dalam solat sahaja. Tapi ayat ini pula memberikan makna khusuk di dalam berdoa, dalam kesabaran dan juga di dalam solat serta di luar solat.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”
Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.
Tuan-tuan, saudara saudari yang saya sayangi dan muliakan. Kekhusyukan yang disebut oleh ulama-ulama tadi adalah kekhusyukan di dalam solat. Namun bagaimanakah pula kekhusyukan di luar solat?
Ketahuilah bahawa khusyuk itu tidak akan dapat kita kecapi tanpa adanya ilmu yang betul dan tanpa ada mujahadah untuk mendapatkannya serta amalan yang berpanjangan dan istiqamah. Semakin banyak amalan, maka semakin tinggilah kekhusyukan yang akan dicapai.
Bahkan kita tidak akan mencapainya dengan sebaik-baiknya sehinggalah kita mencintai ibadat-ibadat yang kita amalkan itu.
Memang amat payah untuk kita mencapai kekhusukan dan seterusnya mencintai ibadat-ibadat yang kita amalkan. Namun Insya Allah swt, dengan tip yang saya berikan ini, kekhusyukan dan dan kecintaan kepada ibadat itu akan lebih mudah dan lebih banyak kita nikmati. Aaamiiin.
Ketahuilah bahawa dalam setiap solat, setiap bacaan al-Qur'an dan di setiap ibadat maupun menulis dan membaca rencana di dalam blog dan FB, kalau kita niatkan ianya ibadat, maka ia akan mengujudkan Aura Ajaib atau Nur Ilahi yang tersendiri. Kerana apabila kita beribadat dengan ikhlas, dengan sendirinya kita akan berada di alam malakut, atau alam malaikat. Walaupun kita tidak dapat berjumpa dengan Malaikat, namun alam ini akan lebih mendekatkan kita kepada Allah daripada luar ibadat. Hati dan jasad kita akan terasa nyaman dan khusuk bila kita mengetahuinya dan mencarinya. Oleh itu kita dinasihatkan agar menjaga whudhu sentiasa. Kerana amat tidak sopan bukan jika kita berada di alam ini di dalam keadaan tidak suci.
Jadi kita perlu mencarinya terlebih dulu ketika solat dan di luar solat dan menghayatinya semasa kita di dalam solat. Begitu juga dalam ibadat-ibadat yang lain. Setelah kita menjumpainya kita hendaklah merasakan kenikmatannya itu dengan tenang dan tuma'ninah, maka jangan berhenti sehingga kita berasa puas.
Bila kita menikmatinya dengan tenang dan tuma'ninah serta puas, maka barulah kita akan merasakan solat dan semua ibadat itu tidak berat. Dan insya Allah swt pula, doa kita akan dimakbulkan kerana kekhusyukan itu sesuai dengan makna ayat yang kita nyatakan tadi.
Oleh itu berusaha dan berdoalah kepada Allah swt setiap kali hendak solat dan beribadat agar mendapatkan aura tersebut dan agar aura-aura itu sentiasa diberikan kepada kita. Insya Allah pasti berhasil dan yakinlah. Dan nikmatilah aura tersebut sepuas-puasnya.
Semoga bermanfaat dan semoga segala amalan kita diterima oleh Allah swt dan semoga segala dosa kita akan diampunkan oleh Allah swt jua. Dan semoga Islam akan menjadi umat yang terkuat dan terhebat sedikit masa lagi. Aaamiiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan